Bootstrap Themes

Perutusan Pengarah Urusan

Assalamualaikum wbt. Saya lafazkan rasa kesyukuran kehadrat Allah swt. kerana dengan taufik dan hidayahNya kita dapat bersama lagi ditahun ke 29 kewujudan Kumpulan Pendidikan Kiblah.
Kiblah senantiasa meletakkan AlQuran serta AsSunnah sebagai pegangan dalam semua aspek kehidupan warga Kiblah, pengurusan dan pentadbiran juga pendidikan para pelajar. Pendidikan, secara umumnya, merupakan asas dalam melahirkan masyarakat yang maju berteraskan semangat bersatu padu, progresif, berbudaya dan berwatak. Justeru, setiap entiti Kiblah bertekad untuk terus meningkatkan sistem kualiti pendidikan Islam serta memberi fokus kepada kemenjadian pelajar. Aspek akademik, sahsiah dan nilai murni yang berteraskan Islam perlu terus diterapkan ke dalam sistem pendidikan. Bagi menjayakan tujuan murni ini, seluruh warga Kiblah, para guru khususnya, telah beranjak daripada pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada pembelajaran berorientasikan perkembangan bagi menyokong usaha ke arah melahirkan pelajar yang cemerlang secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Beberapa Strategi Laut Biru (Blue Ocean Strategy) telah dibentuk sebagai identiti unik Kiblah. Program Perkembangan Sahsiah, Program Penghayatan Islam, Kurikulum YAKIN (kurikulum agama yang telah diiktiraf oleh Universiti Madinah, Arab Saudi), Penilaian 3-Dimensi, program Thanawi Kiblah, program Fastrack SPM dan Kolej Profesional Kemahiran Kiblah adalah antara strategi-strategi tersebut. Kesepaduan program-program ini akan melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Penerapan nilai dan akhlak merupakan tunjang kepada pembentukan jati diri pelajar secara holistik. Pelajar perlu dilengkapkan dengan ilmu dan akhlak untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada agama, bangsa dan negara. Aspek perpaduan juga merupakan teras pembentukan negara dan telah menjadi agenda pendidikan sejak Penyata Razak 1956. Agenda perpaduan ini perlu dipupuk ke dalam jiwa para pelajar. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga bahasa perpaduan perlu diteruskan. Namun penguasaan bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab juga perlu bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat global dan menjadi aset penting kepada mereka terutamanya dalam melanjutkkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“BERILMU, BERAKHLAK, BERWAWASAN”


Tn. Haji Dr. Ismail Bin Omar
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Nusantara
Pengarah urusan sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah
Ahli Lembaga Pengelola Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah

  019-2337852
  pengarahurusan@sekolahkiblah.com.my