Bootstrap Themes

SEKAPUR SIREH PENGERUSI YAYASAN KEBAJIKAN NUSANTARA (YAKIN)

Assalamualaikum w.b.t. Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, tahun ini merupakan tahun ke 29 Kumpulan Pendidikan Kiblah beroperasi dengan menawarkan pendidikan integrasi berteraskan pendidikan agama, akademik juga kemahiran. Empat entiti institusi ini, Kolej Profesional Kemahiran Kiblah (KPKK), Sekolah Menengah Kiblah, Sekolah Rendah Islam Kiblah dan Maahad Tahfiz Kiblah merupakan usaha Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN) dalam merancakkan lagi pembangunan sektor pendidikan Islam di Malaysia.

YAKIN amat berharap agar sistem pendidikan Islam yang dibentuk di setiap entiti di bawah Kiblah ini akan menjadi wadah dakwah Islam dalam memperkukuhkan aqidah umat Islam di Malaysia. Pegangan kepada AlQuran dan AsSunnah perlu diperkukuhkan agar kita semua berada dijalan yang benar dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah misi dakwah YAKIN yang akan diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Kecemerlangan ilmu akademik dan kemahiran juga perlu diperkasakan agar Kiblah dapat bersaing dengan institusi-institusi lain di dalam dan luar negara. Kejayaan para pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan akhirnya berjaya dalam kerjaya hidup membuktikan bahawa Kiblah juga hebat serta mempunyai daya saing dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta berwawasan. Kiblah juga tidak ketinggalan dalam menyokong usaha kerajaan meningkatkan prestasi pendidikan negara dengan merealisasikan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025. Kiblah juga bertekad menyelusuri 11 anjakan transformasi yang digariskan serta memenuhi enam aspirasi murid: Pengetahuan, Kemahiran Dwibahasa, Kemahiran Berfikir, Etika dan Kerohanian, Kemahiran Memimpin dan Identiti Nasional.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama berusaha memacu tenaga, menggembleng usaha serta memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar Kumpulan Pendidikan Kiblah yang kita sayangi ini dapat melahirkan generasi rabbani yang memperoleh kecemerlang di dunia dan akhirat.
Wassalam.

Tan Sri Dato’ Dr Hashim Meon
Pengerusi
Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN)